SEJARAH PERBANDARAN KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR AWAL ABAD KE 19

Sejarah Perbandaran di Kuala Lumpur telah pun wujud sejak awal abad ke 19 dengan terdapatnya penempatan orang melayu dan orang asli tradisional di sepanjang Sungai Kelang. Penduduk melayu dikesan telah mengusahakan aktiviti perlombongan biji timah secara kecil-kecilan ketika menunggu musim menuai.
 

KUALA LUMPUR ( 1857-1884 )

1857 - Bermulanya kemasukkan oleh pelombong-pelombong Cina. Kuala Lumpur mula berkembang sebagai kawasan perdagangan yang membekalkan barang-barang keperluan untuk pelombong bijih timah.

1870 an - Keadaan politik di Selangor dalam keadaan huruhara kerana konflik yang berlaku dikalangan putera-putera raja yang mahukan lebih penguasaan terhadap wilayah dan kutipan cukai. Situasi ini dirumitkan dengan pergaduhan sesama sendiri di antara kumpulan Cina di kawasan tersebut.

1873 - Peperangan saudara di Selangor telah memusnahkan Kuala Lumpur. Yap Ah Loy yang telah dilantik menjadi Kapitan Cina ketiga pada tahun 1868 -1885 merupakan orang yang bertanggungjawab untuk membangunkan semula Kuala Lumpur yang telah musnah akibat peperangan saudara tersebut.

1881 dan 1883 - Kebakaran besar dan banjir kilat yang memusnahkan hampir keseluruhan Kuala Lumpur. Keadaan rumah-rumah atap yang sesak dan rapat di antara satu sama lain telah memusnahkan hampir keseluruhan penempatan di Kuala Lumpur pada tempoh masa yang singkat.

 

KUALA LUMPUR ( 1884 –1900 )

1884 - Undang-undang Bangunan diperkenalkan yang mengkehendaki setiap pemilik bangunan membina semula bangunan mereka daripada batu bata, beratapkan genting tanah liat dan mengadakan kaki lima berbumbung di hadapan rumah kedai di sepanjang jalan. Pembinaan semula bangunan rumah kedai  perlu dibina selari dengan jalan mengikut susun atur yang telah disediakan.

1886 - Frank Swettenham telah memulakan perancangan pembinaan jalan keretapi di antara Kuala Lumpur ke Kelang.

1890 - Sanitary Board ditubuhkan bertanggungjawab untuk mentadbir pasar, menguatkuasakan pembersihan, membersihkan jalan, lorong,membina longkang, mendirikan lampu-lampu jalan dan papan-papan tanda serta juga bertindak untuk mengawal pembangunan bandar

1890 - Jalan keretapi menghubungi Kuala Kubu dan Sungai Besi siap dibina. Pembinaan jalan keretapi telah meningkatkan lagi perkembangan ekonomi Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya kerana ia memendekkan masa perjalanan untuk mengekspot komoditi timah dan hasil pertanian.



KUALA LUMPUR AWAL ABAD KE 20 - KUALA LUMPUR (1900 - 1941)


1916 - Pusat bandar telah mengalami  ketepuan pembangunan kerana halangan fizikal seperti tanah berpaya dan berbukit. Keadaan ini telah menyebabkan penumpuan pembinaan bangunan-bangunan telah didirikan di sepanjang jalan-jalan utama yang menghubungkan kawasan perlombongan utama dengan pusat bandar seperti  Jalan Ampang, Jalan Pudu dan Jalan Batu.

1921 - Jururancang Bandar pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dilantik iaitu C.C Reeds. Perlantikan beliau selaras dengan penubuhan Lembaga Penasihat mengenai perancangan bandar  yang kemudiannya di kenali sebagai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

1933 - Pengganti Reeds, R.P Davies telah menyediakan satu pelan bandar untuk Kuala Lumpur dengan mengenalpasti pelbagai zon untuk kegunaan tertentu.

1937 - Pelan tersebut telah dipinda dan telah diwartakan pada tahun 1939 untuk membantu mengawal pembangunan Bandar.

1939 - Pelan pembangunan pertama untuk Kuala Lumpur ialah Pelan Bandar Am yang telah disediakan untuk mengawal pembangunan bagi kawasan seluas 11 batu persegi. Pelan tersebut telah dijadikan asas rujukan awal pembangunan sehingga 1964 walaupun pentadbiran bandar telah berkembang sehingga 36 batu persegi.

1941 - Penaklukan Jepun di Malaya di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah dimansuhkan.

KUALA LUMPUR ( 1946 - 1970 )


1946 - Selepas Perang Dunia Kedua, Kuala Lumpur telah dijadikan ibu negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Majlis Perbandaran Kuala Lumpur ditubuhkan untuk  mengambil alih tugas Sanitary Board.

1957 - Lebih ramai penduduk berhijrah dari kawasan desa ke bandar akibat daripada kepesatan Kuala  Lumpur sebagai  pusat pentadbiran, politik dan kebudayaan. Pertambahan penduduk amat besar sekali, pada kadar purata 6.0% setahun.

KUALA LUMPUR ( 1970 - 1980 )


1970 - Pelan Pembangunan Lengkap (PPL 1039, PPL 1040 dan PPL 1041) telah diwartakan. Pelan PPL 1040 & PPL 1041 ini menetapkan zon gunatanah dan zon kepadatan manakala pelan PPL 1039 pula, mengariskan pembangunan  semula secara komprehensif di Pusat Bandar.

1971 - Kuala Lumpur telah dikurniakan status bandaraya pada 1 Februari.Pesuruhjaya Ibu Kota bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Ibu Kota dikenali sebagai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang Pertama adalah Tan Sri Dato’ Lokman Yusof.

1972 - Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR ( 1980 - 2000 )

1980 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyediakan pelan struktur dan diwartakan pada tahun 1984. Strategi Pelan Struktur adalah untuk menyeimbangkan pembangunan dengan mengalakkan pembangunan di empat buah Pusat Pertumbuhan baru iaitu Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Bukit Jalil dan Damansara Di samping menyederhanakan pembangunan di Pusat Bandar.

Pertumbuhan pesat perbandaran Kuala Lumpur adalah dibantu oleh persekitaran pelaburan hartanah yang menggalakkan.

Kuala Lumpur mengalami zaman kemuncak pembangunan hartanah pada tahun 1973 dan tahun 1974 dan kemuncak yang ketiga pada tahun 1981– 1983.

Hasil kemajuan pembangunan hartanah telah mewujudkan Pusat-pusat bangunan pejabat dan hotel kelas tinggi disepanjang Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Raja Chulan dan Jalan Raja Laut.

Kemuncak hartanah yang keempat bermula pada tahun 1991 sehingga 1995.

KUALA LUMPUR ABAD KE - 21

KUALA LUMPUR ( 1980 - 2000 )

Projek-projek Pembangunan  Mega termasuk Koridor Raya Multimedia (MSC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan perpindahan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ke Putrajaya dijangka akan memberi kesan kepada pertumbuhan masa hadapan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur akan terus memainkan peranan sebagai Pusat aktiviti perdagangan yang terpenting.

2003 - Draf Pelan Struktur 2020 dipamerkan kepada orang awam untuk bantahan dan cadangan terhadap perancangan yang dilakukan di dalam kawasan pentadbiran Kuala Lumpur yang kini yang mempunyai keluasan 243 km persegi.

4 November 2004 - Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 diwartakan yang mengandungi wawasan, matlamat,dasar-dasar dan cadangan-cadangan untuk memandu pembangunan Kuala Lumpur (Bandar Raya) bagi 20 tahun akan datang.

Visi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap pembangunan Kuala Lumpur adalah

“Menjadi Sebuah Bandaraya Bertaraf Dunia”

 

 

   
Carian dalam laman JPRB: Carian melalui:
  Semua perkataan Mana-mana perkataan Frasa

Laman Utama
| Profail JPRB | Kelulusan Permohonan| Peta Interaktif | Perundangan
Proses Permohonan| Kadar Bayaran | Muat turun | Soalan Lazim
 
Bilangan Pelawat sejak 8 Julai 2003 0 Visitors0 Visitors0 Visitors0 Visitors0 Visitors
© 2003 jprb.dbkl.gov.my, Hak Cipta Terpelihara | Penafian  | webmaster