AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN 1974

UNDANG-UNDANG KECIL BANGUNAN

(WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1985

SUSUNAN UNDANG-UNDANG KECIL

 

 

BAHAGIAN VIII

 

PENGGERA KEBAKARAN, PENGESAN API,

PEMADAM API DAN AKSES MENETANG KEBAKARAN

 

Undang-undang kecil

  1. Pengesanan dan pemadaman api.

  2. Sistem automatik bagi pendudukan berbahaya.

  3. Pemadam api mudalih

  4. Injap semburan.

  5. Cara akses dan menentang kebakaran dalam bangunan yang tingginya lebih daripada 18 meter.

  6. Pemasangan dan ujian sistem pancur kering.

  7. Pemasangan dan ujian sistem pancur basah.

  8. Sistem pancur basah atau kering bagi bangunan yang sedang dibina.

  9. Alir masuk busa.

  10. Struktur bawah tanah dan bangunan tanpa tingkat hendaklah mempunyai alir masuk busa.

  11. Pemasangan tetap.

  12. Bahaya khas.

  13. Penggera kebakaran.

  14. Pusat pemerintahan dan kawalan.

  15. Sistem komunikasi suara.

  16. Suis pengasingan elektrik.

  17. Kehendak-kehendak khas bagi sistem penggera kebakaran.

  18. Ruang akses menentang kebakaran.

  19. Lif bomba.

  20. Piawai yang dikehendaki.

  21. Kelulusan K.P.P.B..

  22. Perakuan apabila siap.

  23. Storan air.

  24. Tanda pada pancur basah, dll..

  25. Pengeluaran asap dan haba.

  26. Liang asap udara biasa.

  27. Liang asap hendaklah mencukupi untuk mencegah pengumpulan asap yang membahayakan..

  28. Liang asap hendaklah boleh dibuka oleh Pihak Berkuasa Bomba.

  29. Sistem kuasa kecemasan.

 

BAHAGIAN VIII

 

PENGGERA KEBAKARAN, PENGESAN API,

PEMADAM API DAN AKSES MENETANG KEBAKARAN

 

225.(1)    Tiap-tiap bangunan hendaklah dilengkapkan dengan cara-cara mengesan dan memadam api dan dengan penggera kebakaran bersama-sama dengan tanda tempat keluar bercahaya mengikut kehendak-kehendak yang dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh Undang-Undang Kecil ini.

        (2)    Tiap-tiap bangunan hendaklah dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya satu pili bomba yang ditempatkan tidak lebih daripada 91.5 meter daripada tempat akses pasukan bomba yang terdekat sekali.

         (3)    Bergantung kepada saiz dan tempat bangunan itu dan persediaan akses bagi perkakas bomba, pili bomba tambahan hendaklah disediakan sebagaimana dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Bomba.

226.         Jika proses, storan atau pendudukan berbahaya adalah bersifat sebegitu hingga memerlukan semburan automatik atau sistem pemadam automatik lain, ia hendaklah daripada jenis dan standard yang sesuai untuk memadamkan api dalam bahan berbahaya yang disimpan atau dikehendalikan atau bagi keselamatan penduduknya.

227.         Pemadam api mudahalih hendaklah disediakan mengikut kata-kata amalan rlevan dan hendaklah diletakkan di tempat-tempat penting pada jalan keluar supaya boleh dilihat daripada semua arah dan pemadam api yang serupa dalam sesuatu bangunan hendaklah mempunyai cara kendalian yang sama.

228.(1)    Injap semburan hendaklah diletakkan di tempat yang selamat dan berkepung pada dinding luar dan hendaklah sentiasa boleh didapatkan oleh Pihak Berkuasa Bomba.

      (2)     Semua sistem semburan hendaklah disambung secara elektrik kepada balai bomba yang terdekat sekali untuk memberi geganti penggera dengan segera dan automatik apabila dihidupkan.

229.(1)    Bangunan-bangunan yang mana tingkat paling atasnya adalah lebih daripada 18 meter di atas paras akses perkakas bomba hendaklah dilengkapkan dengan cara mendapatkan akses dan menentang kebakaran daripada dalam bangunan itu yang terdiri daripada ruang akses menentang kebakaran, tangga menentang kebakaran, lif bomba dan sistem pancur kering atau basah.

     (2)      Ruang akses menentang kebakaran hendaklah disediakan di tiap-tiap paras tingkat dan hendaklah ditempatkan supaya jarak perjalanan daripada tempat paling jauh sekali bagi tingkat itu tidak melebihi 45 meter.

   (3)        Ruang akses menentang kebakaran boleh ditinggalkan jika tangga menentang kebakaran itu disitekan untuk memenuhi kehendak-kehendak undang-undang kecil 200 dan semua pemasangan menentang kebakaran dalam kepungan tangga yang disitekan itu tidak memasuki ke dalam ruang lega yang dikehendaki sebagai jalan keluar daripada bangunan itu.

   (4)        Suatu tangga menentang kebakaran hendaklah disediakan untuk memberi akses terus kepada tiap-tiap ruang akses menentang kebakaran dan hendaklah boleh dilalui terus daripada luar bangunan itu pada paras akses perkakas bomba.  Tangga ini boleh menjadi salah satu daripada tangga-tangga yang dikehendaki sebagai jalan keluar daripada bangunan itu.

   (5)        Suatu lif bomba hendaklah disediakan bagi memberi akses kepada tiap-tiap ruang akses menentang kebakaran atau, jika ruang itu tidak ada, kepada tangga menentang kebakaran di tiap-tiap paras tingkat.

   (6)        Lif bomba itu hendaklah mengeluarkan terus ke dalam ruang akses menentang kebakaran atau tangga menentang kebakaran atau hendaklah dihubungkan kepadanya oleh suatu koridor terlindung.

230.(1)    Sistem pancur kering hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling atasnya adalah lebih daripada 18 meter tetapi kurang daripada 30.5 meter di atas paras akses perkakas bomba.

   (2)        Suatu sambungan hos hendaklah disediakan dalam setiap ruang akses menentang kebakaran.

   (3)        Pancur kering hendaklah daripada paip-paip Kelas C pada minimumnya dengan pemasangan dan sambungan yang kekuatannya mencukupi untuk menahan tekanan air 21 bar.

   (4)        Pancur kering hendaklah diuji secara hidrastatik untuk menahan tekanan tidak kurang daripada 14 bar selama dua jam di hadapan Pihak Berkuasa Bomba sebelum diterima.

   (5)        Semua larian melintang sistem pancur kering itu hendaklah dicuramkan pada kadar 6.35 milimeter dalam 3.05 meter.

   (6)        Pancur kering itu hendaklah mempunyai diameter tidak kurang daripada 102 milimeter bagi bangunan yang mana alir keluarnya yang tertinggi sekali adalah 23 meter atau kurang di atas alir masuk pam bomba dan tidak kurang daripada 152.4 milimeter diameter jika alir keluar yang tertinggi sekali adalah lebih tinggi daripada 23 meter di atas alir masuk pam itu.

   (7)        Pancur kering yang 102 milimeter diameternya hendaklah dilengkapkan dengan alir masuk pam dua hala dan pancur kering yang 152.4 milimeter diameternya hendaklah dilengkapkan dengan alir masuk pam empat hala.

231.(1)    Sistem pancur basah hendaklah disediakan dalam tiap-tiap bangunan yang mana tingkat paling tingginya adalah lebih daripada 30.5 meter di atas paras akses perkakas bomba.

    (2)       Suatu sambungan hos hendaklah disediakan dalam tiap-tiap ruang akses menentang kebakaran.

    (3)       Pancur basah hendaklah mempunyai diameter 152.4 milimeter  pada minimumnya dan hendaklah diuji secara hidrostatik pada tekanan 50% lebih tinggi daripada tekanan kerja yang dikehendaki dan tidak kurang daripada 14 bar selama sekurang-kurangnya dua puluh empat jam.

    (4)       Tiap-tiap alir keluar pancur basah hendaklah mengandungi kupling segera 63.5 milimeter yang standard dipasang dengan hos yang diameternya tidak kurang daripada 38.1 milimeter dilengkapkan dengan suatu penakung daripada jenis yang diluluskan dan suatu muncung kabus yang boleh berubah.

   (5)        Suatu pancur basah hendaklah disediakan di tiap-tiap tangga yang melanjut daripada paras tingkat bawah ke bumbung dan hendaklah dilengkapkan dengan alir keluar 63.5 milimeter tiga hala di bahagian atas garisan bumbung itu.

   (6)        Setiap peringkat pancur basah itu hendaklah tidak melebihi 61 meter, melainkan dibenarkan dengan nyata oleh K.P.P.B. tetapi dalam mana-mana hal tidak melebihi 70.15 meter.

232.(1)    Jika sama ada sistem pancur basah atau kering dikehendaki, sekurang-kurangnya satu pancur hendaklah dipasang apabila bangunan yang sedang dibina itu telah sampai setinggi 18 meter daripada paras alir masuk pam bomba dengan sambungannya ditempatkan bersempadan dengan tangga yang boleh digunakan.

   (2)        Pancur itu hendaklah dilanjutkan mengikut kemajuan binaan hingga ke takat dua tingkat daripada tingkat paling tinggi yang sedang  dibina dan jika tinggi yang dirancangkan bagi bangunan itu mengkehendaki pemasangan sistem pancur basah, maka pun bomba, tangki storan air, dan sambungan sesalur air hendaklah disediakan bagi kegunaan pancur itu.

233.         Bilik dandang dan kawasan storan di bawah paras tanah yang tidak dilengkapkan dengan pemasangan pemadam api automatik hendaklah dilengkapkan dengan alir masuk busa.

234.         Semua struktur bawah tanah, bangunan tanpa tingkat bergantung kepada jenis pendudukan, storan, prosesan atau jenis perlindungan yang dipasang, hendaklah dilengkapkan dengan alir masuk busa sebagaimana dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Bomba.

235.         Pemasangan tetap hendaklah sama ada sistem banjir seluruh atau sistem pelindung unit bergantung kepada jenis proses berbahaya dan pendudukan sebagaimana dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Bomba.

236.         Tempat-tempat yang mempunyai bahaya atau risiko khas disebabkan oleh jenis storan, tred, pendudukan atau saiznya adalah dikehendaki supaya dilindungi oleh pemasangan tetap, sistem alat pelindung, dan pemadam api khas sebagaimana dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Bomba.

237.(1) Penggera kebakaran hendaklah disediakan mengikut Jadual Kesepuluh Undang-Undang Kecil ini.

   (2)        Semua premis dan bangunan yang mempunyai keluasan lantai kasar, tidak termasuk tempat letak kereta dan kawasan storan, yang melebihi 9290 meter persegi atau melebihi 30.5 meter tinggi hendaklah dilengkapkan dengan sistem penggera kebakaran dua peringkat di mana isyarat pengungsian (isyarat berterusan) diberi dengan serta merta di bahagian premis itu yang terjejas sementara suatu isyarat bahaya (isyarat sela-menyela) diberi di bahagian yang bersampingan.

   (3)        Peruntukan hendaklah dibuat bagi pengungsian am premis itu melalui tindakan kawalan induk.

238.         Tiap-tiap premis atau bangunan besar yang melebihi 30.5 meter tinggi hendaklah dilengkapkan dengan suatu pusat pemerintahan dan kawalan yang ditempatkan di atas tingkat tentuan dan hendaklah mengandungi suatu panel untuk aliran air, pengesan api dan sistem penggera dan dihubungkan terus melalui telefon kepada balai bomba yang berkenaan dengan membipas papan suis.

239.         Maka hendaklah ada dua sistem komunikasi suara berasingan yang diluluskan dan diawasi berterusan dengan elektrik, satu ialah sistem komunikasi bomba dan satu lagi ialah sistem siaraya di antara stesen kawasan pusat dan kawasan-kawasan berikut :

(a)            lif, lobi lif, koridor dan tangga;

(b)           dalam tiap-tiap kawasan pejabat yang luasnya melebihi 92.9 meter persegi;

(c)            dalam setiap unit kediaman dan bilik tamu hotel di mana sistem bomba boleh dicantumkan dengan sistem siaraya.

240.(1)    Tiap-tiap lantai atau zon sesuatu tingkat yang keluasan bersihnya melebihi 929 meter persegi hendaklah dilengkapkan dengan suis pengasingan elektrik yang ditempatkan dalam kepungan tangga untuk membolehkan pemotongan bekalan kuasa elektrik ke tingkat atau zon berkenaan yang menggunakannya.

    (2)       Suis itu hendaklah sama jenisnya dengan suis ahli bomba yang dinyatakan dalam Peraturan Institusi Juruter Elektrik yang sedang berkuatkuasa.

241.         Di tempat-tempat di mana terdapat orang pekak dan di tempat-tempat di mana sistem penggera dengar tidak sesuai oleh kerana jenis pendudukannya, isyarat penggera petunjuk yang kelihatan hendaklah digabungkan sebagai tambahan kepada sistem penggera biasa.

242.         Ruang akses menentang kebakaran hendaklah mematuhi kehendak-kehendak berikut:

(a)            setiap ruang hendaklah mempunyai keluasan lantai tidak kurang daripada 5.57 meter persegi; dan

(b)           keluasan tingkap yang boleh dibuka atau keluasan pengudaraan kekal hendaklah tidak kurang dari 25% daripada keluasan lantai ruang itu dan, jika pengudaraan adalah dengan cara tingkap boleh buka, pengudaraan kekal tambahan yang mempunyai ruang buka bebas seluas 464 sentimeter persegi hendaklah disediakan kecuali bahawa pengisitekanan mekanikal boleh diadakan sebagai alternatif.

243.(1)    Dalam sesuatu bangunan di mana tingkat atas yang diduduki adalah lebih daripada 18.5 meter di atas paras akses perkakas bomba, lif bomba hendaklah sediakan.

    (2)       Sesuatu penthouse yang menduduki tidak lebih daripada 50% keluasan lantai yang sebaik sahaja di bawahnya hendaklah dikecualikan daripada ukuran ini.

    (3)       Lif bomba hendaklah ditempatkan dalam lubong terlindung berasingan jika ia membuka ke suatu ruang berasingan.

    (4)       Lif bomba hendaklah disediakan pada kadar satu lif dalam tiap-tiap kumpulan lif yang mengeluar ke dalam kepungan terlindung yang sama atau ruang asap yang mengandungi sesalur pancur, dengan syarat bahawa lif bomba itu ditempatkan tidak lebih daripada 61 meter jarak perjalanan daripada titik lantai itu yang terjauh sekali.

244.         Semua pemasangan dan perkakas bomba hendaklah mematuhi edisi semasa piawai-piawai berikut

  (a)  Pili Bomba  ..  ..  PB 750:1977 dan TAPB  402.101:1952
  (b)  Gelung Hos Hidraulik PB 5306 Bahagian 1:1976
  (c)  Pemadam Api Mudahalih TAPB 402 Bahagian 3:1964
  (d)  Sesalur Pancur Kering

       Basah

PB 5306 Bahagian 1:197

PB3980:1966 PB 750:1964

  (e)  Alir Masuk Busa  ..    PB 3980:1966
  (f)  Semburan Automatik  Kaedah JPB Edisi 29:1973
  (g)  Sistem Penggera Kebakaran Kaedah JPB: 1973

TAPB 1019:1972

PB 3116 Bahagian 1:1970

PB 3116 Bahagian 4:1974

PB 5446 Bahagian 1:1977

  (h)  Sesekat Api ..  ..   PB 2655: Bahagian 1:

Lampiran E

  (i)  Lif Bomba   ..  ..  PB  2655: Bahagian 1:

Lampiran E

  (j)  Kawalan Asap      ..   PA 1668: Bahagian 1:1974

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

245.(1)    Semua pemasangan dan perkakas menentang kebakaran selain daripada yang menepati piawai yang disenaraikan dalam undang-undang kecil 244 hendaklah daripada yang diuji dan diluluskan oleh K.P.P.B.

    (2)       Pelan, lukisan dan kiraan bagi semua pemasangan tetap hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Bomba mengikut cara yang ditetapkan oleh K.P.P.B. sebelum memulakan kerja.

    (3)       Tiap-tiap pelan, lukisan atau kiraan berkenaan dengan sesuatu semburan automatik atau pemasangan tetap lain hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan borang yang berkenaan sebagaimana ditetapkan dalam Jadual Kesepuluh Undang-Undang Kecil ini.

246.         Apabila pemasangan tetap telah disiapkan dan ujian terakhir dijalankan orang yang mengemukakan pelan itu hendaklah memperakui kepada Pihak Berkuasa Bomba atas Borang B sebagaimana dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh Undang-Undang Kecil ini bahawa kerja itu boleh disiapkan dan ujian yang perlu telah dijalankan mengikut kaedah K.P.P.B. semasa bagi pelbagai pemasangan tetap.

247.(1)    Muatan storan air dan kadar aliran air bagi sistem dan pemasangan menentang kebakaran hendaklah disediakan mengikut skel yang dinyatakan dalam Jadual Kesepuluh Undang-Undang Kecil ini.

    (2)       Tangki storan air utama dalam bangunan itu, selain daripada untuk sistem gelung hos, hendaklah ditempatkan pada paras tanah, tingkat bawah tanah pertama atau kedua, dengan sambungan alir masuk pam bomba yang boleh sampai oleh perkakas bomba.

    (3)       Tangki storan bagi pemasangan semburan automatik di mana muatan penuh disediakan tanpa keperluan mengisi semula hendaklah dikecualikan daripada sekatan mengenai penempatannya.

248.(1)    Pancur basah, pancur kering, semburan dan pemasangan paip bomba dan pasangan-pasangan bomba lain hendaklah dicat merah.

    (2)       Semua kabinet dan kawasan ceruk dalam dinding bagi penempatan pemasangan bomba dan pemadam api hendaklah ditunjukkan dengan jelas sehingga memuaskan Pihak Berkuasa Bomba.

249.         Dalam bangunan tanpa tingkap, struktur bawah tanah dan kilang yang luas kawasannya, kemudahan pengeluaran asap hendaklah disediakan bagi penggunaan tempat keluar dengan selamat.

250.(1)    Pengeluaran asap udara biasa hendaklah menggunakan liang bumbung atau liang dalam dinding pada atau dekat paras siling.

    (2)       Liang tersebut hendaklah biasanya berada dalam keadaan terbuka atau jika liang itu tertutup ia hendaklah direkabentuk untuk membuka secara automatik dengan suatu cara yang diluluskan jika berlaku kebakaran.

251.         Jika kemudahan pengeluaran asap dipasang bagi maksud-maksud keselamatan tempat keluar mengikut kehendak-kehendak Bahagian ini ia hendaklah mencukupi untuk mencegah pengumpulan asap yang membahayakan sepanjang tempoh masa yang perlu bagi pengungsian kawasan yang menggunakannya kemudahan tempat keluar yang ada dengan tambahan masa kelegaan bagi kemungkinan yang tidak dijangka.

252.         Bukaan keluar semua liang asap manual hendaklah ditempatkan supaya boleh dibuka dengan mudah oleh Pihak Berkuasa daripada luar.

253.(1)    Sistem kuasa kecemasan hendaklah disediakan bagi membekal cahaya dan kuasa secara automatik jika berlaku kerosakan bekalan biasa atau jika berlaku kecelakaan kepada elemen sistem yang membekalkan kuasa dan cahaya yang perlu bagi keselamatan nyawa dan harta.

     (2)      Sistem kuasa kecemasan hendaklah menyediakan kuasa bagi sistem kawalan asap, pencahayaan, sistem penggera kebakaran, pam bomba, sistem siaraya, lif bomba dan sistem kecemasan lain.

     (3)      Sistem-sistem kecemasan hendaklah mempunyai keupayaan dan kadar yang mencukupi bagi pengendalian kecemasan semua kelengkapan yang disambung kepada sistem itu termasuk pengendalian serentak semua lif bomba dan satu lif lain.

     (4)      Semua pendawaian bagi sistem kecemasan hendaklah dalam konduit logam atau daripada kabel yang mempunyai penobatan mineral tahan api, dipasang sepanjang kawasan yang paling kurang risiko kebakarannya.

     (5)      Bekalan arus elektrik hendaklah sedemikian rupa jika berlaku kerosakan pembekalan biasa kepada atau di dalam bangunan atau kumpulan bangunan yang berkenaan itu, pencahayaan kecemasan atau kuasa kecemasan, atau kedua-dua pencahayaan dan kuasa kecemasan boleh didapati dalam tempoh 10 saat daripada gangguan bekalan biasa itu.  Sistem bekalan bagi maksud-maksud kecemasan hendaklah terdiri daripada satu atau lebih daripada jenis-jenis yang diluluskan berikut:

(a)       Bateri Simpanan

           Bateri simpanan daripada kadar dan keupayaan yang sesuai untuk membekal dan mengekalkan tidak kurang daripada 872 peratus sistem voltan jumlah beban litar yang membekalkan pencahayaan kecemasan dan kuasa kecemasan bagi suatu tempoh sekurang-kurangnya 12 jam.

(b)      Set Janakuasa

         Suatu set janakuasa yang dijalankan oleh sejenis penggerak utama dan daripada keupayaan yang mencukupi dan kadar yang sesuai untuk membekalkan litar yang membawa pencahayaan kecemasan atau pencahayaan dan kuasa dengan cara sesuai bagi menghidupkan penggerak utama secara automatik apabila berlaku kerosakan kepada perkhidmatan biasa itu.